TOTTENHAM 3 CSKA MOSCOW 1

Jurulatih CSKA Moscow, Leonid Slutsky, berkata dia tidak akan terkejut untuk melihat Alan Dzagoev melakukan perpindahan ke Liga Perdana Inggeris.


Dzagoev membuka tirai jaringan untuk CSKA di Wembley awal pagi tadi sebelum Tottenham bangkit untuk memuktamadkan kemenangan 3-1 dalam Kumpulan E, Liga Juara-Juara Eropah (UCL), dan menjamin tempat mereka dalam Liga Europa.

Slutsky, yang telah mengumumkan tidak akan bersama pasukan tersebut pada musim depan, diminta untuk memberikan pandangan mengenai pemain kebangsaan Russia, Dzagoev, yang dilaporkan telah menarik minat beberapa kelab British.

"Ia jelas Dzagoev merupakan antara pemain terbaik dalam Liga Russia. Ia tidak menghairankan jika ada pasukan terkemuka di Britain berminat untuk mendapatkan khidmatnya dan dia berpindah ke salah sebuah kelab tersebut.

"(Tetapi) walaupun dia menjaringkan gol, masih banyak perkara yang perlu dilakukan olehnya."

CSKA hanya menamakan lima pemain simpanan bagi pertembungan dengan Tottenham dan Slutsky segera menekankan tentang kekurangan pilihan pemain yang dihadapinya.

"Ia sangat sukar. Kami kehilangan ramai pemain dan walaupun kami menjaringkan gol pertama, saya boleh mengatakan ketiadaan ramai pemain adalah punca kekalahan kami," katanya.

"Ia bukan sesuatu yang mudah untuk bermain dengan ketiadaan ramai pemain dan kami berdepan dengan lawan yang sukar.

"Oleh kerana ketiadaan ramai pemain, ia terlalu sukar untuk kami bersaing dalam UCL.

"Satu-satunya perkara yang boleh saya katakan ialah saya berasa kecewa."

Sementara itu, jaringan Spurs terhasil menerusi serangan Dele Alli dan Harry Kane, diikuti dengan gol sendiri Igor Akinfeev.