Pengurus Dynamo Kiev, Mircea Lucescu, percaya Barcelona bukan di tahap mampu menawan Liga Juara-Juara (UCL).

Pemimpin Kumpulan G dan gergasi LaLiga itu akan menyambut kunjungan Dynamo di Camp Nou, awal pagi esok.

Barca menyamai rekod pungutan mata terburuk selepas enam perlawanan Laliga -- pasukan kendalian Ronald Koeman itu sekadar seri 1-1 dengan Deportivo Alaves, Ahad lalu, dan itu bermaksud mereka hanya mengumpul lapan mata di peringkat awal kempen 2020-21.

Ia adalah jumlah yang sama seperti yang diraih Barca pada awal kempen 2002-03 di bawah sentuhan seorang lagi pengurus Belanda, Louis van Gaal.

Barca juga dimalukan 2-8 oleh Bayern Munich dalam separuh akhir UCL musim lalu dan ketika ditemui media pada malam sebelum pertembungan itu, Lucescu menjelaskan kepada wartawan: "Selepas melawan Bayern Munich, kita faham betapa Barcelona memerlukan rombakan.

"Mereka mempunyai skuad yang dihuni pemain yang sangat berbakat tetapi mereka memerlukan masa untuk mempelajari selok beloknya.




"Saya tidak fikir ketika ini Barcelona berada di tahap mampu memenangi UCL. Bayern Munich, Manchester City atau Paris Saint-Germain (PSG) merupakan pilihan lebih menarik.

"Bagaimanapun, mereka memiliki Lionel Messi, ia sangat penting. Pengurus baru memerlukan tempoh minimum enam bulan dan pada musim bunga depan, mereka pasti akan berubah. Barcelona merupakan sebuah pasukan yang lebih baik dalam UCL berbanding Laliga kerana dalam kejohanan domestik, pesaing lain dapat mengenali mereka dengan baik. "

Dynamo Lucescu memiliki satu mata daripada dua perlawanan untuk berada di kedudukan ketiga Kumpulan G, lima mata dipisahkan dengan pendahulu, Barca, yang belum pernah kecundang.

Barca belum tewas dalam 22 perlawanan peringkat kumpulan UCL dan mampu mengulangi pencapaian Oktober 2017 yang menyaksikan mereka mencipta lima kemenangan berturut-turut dalam pusingan awal.

Lionel Messi telah merekodkan 20 gol dalam 24 penampilan terakhir di pentas Eropah sementara kali terakhir mencipta jaringan dalam tiga perlawanan pertama adalah pada 2018-19.

Untuk rekod, Dynamo tidak pernah menang dalam 14 perlawanan terakhir ketika berdepan mana-mana kelab Sepanyol dalam pertandingan Eropah dengan kemenangan terakhir menihak mereka adalah pada Mac 1999, iaitu menentang Real Madrid dalam pertemuan kedua suku akhir Piala Eropah.