Dybala pamer sentuhan berbisa 

Oleh Penulis Jemputan 21 Disember 2017 388
Dybala pamer sentuhan berbisa 
JUVENTUS 2 GENOA 0 

Gol Paulo Dybala dalam kemenangan 2-0 Juventus ke atas Genoa dalam kempen Coppa Italia akan mengembalikan keyakinannya, namun sentuhan pemain Argentina tidak pernah hilang, demikian tegas Massimiliano Allegri.


Dybala telah direhatkan ketika berdepan Inter Milan dan Bologna baru-baru ini, namun dia kembali dalam kesebelasan utama di Turin awal pagi tadi lalu membalas kepercayaan itu dengan gol serta umpanan untuk jaringan Gonzalo Higuain.

Sebelum ini, ketua jurulatih, Allegri, menganggap Dybala yang mencetak 12 gol Serie A musim ini perlu memainkan peranan lebih besar dan percaya pemain itu akan terus berkembang setelah menemui kembali sentuhan jaringan.

"Dybala memperagakan prestasi yang baik seperti yang dilakukan oleh keseluruhan pasukan. Kami semua mahu Dybala kembali menjadi Dybala, kerana dia seorang pemain yang luar biasa.

"Dia memerlukan persembahan yang baik, dengan semua gol itu, ia dapat membantunya memulihkan ketenangan dan keyakinan, begitupun sentuhannya tidak pernah hilang, " katanya kepada Rai Sport.

"Dybala hanya perlu memberi tumpuan kepada melakukan perkara-perkara yang mudah, dia tidak perlu membuktikan dirinya dalam setiap perlawanan kerana ia hanya meningkatkan tekanan.

"Saya berpuas hati dengan prestasi keseluruhan perlawanan kerana kami tidak memberi ruang kepada Genoa.

"Sudah tentu, apabila Dybala bertindak sebagai penyerang tengah dan berada di tengah-tengah kotak penalti, maka pemain sayap dan pemain tengah harus membuat larian. Ini sesuatu yang kami boleh uji agar ia berfungsi, kami memerlukan pemain sayap yang gemar mengasak," tambahnya.

Bagaimanapun, Allegri tidak sepenuhnya berpuas hati dengan prestasi pasukannya dan mengakui kecewa dengan beberapa kesilapan pertahanan mereka.

"Saya marah kerana kami kehilangan bola sebanyak tiga atau empat kali ketika cuba mengeluarkannya daripada pertahanan," katanya. "Jika ragu-ragu, lepaskan sahaja (sepakan liar). 

"Kami mempunyai dua hari untuk mempersiapkan diri menghadapi AS Roma, kami akan lihat situasi pemain yang tercedera. Ia adalah pertembungan sukar dan Roma masih ada satu perlawanan di dalam tangan. Oleh itu, mereka berpotensi sebaris dengan kami. "

Juventus akan menyambut Roma di Turin, Sabtu ini, dengan Giallorossi hanya tiga mata di belakang pasukan bimbingan Allegri itu dalam saingan Serie A.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen