VERONA 1 JUVENTUS 3

Massimiliano Allegri mungkin tidak memilih Paulo Dybala untuk kesebelasan utamanya sejak beberapa minggu kebelakangan ini tetapi dia percaya penyerang Juventus itu boleh menjadi bintang utama dunia bersama-sama Neymar selepas Lionel Messi dan Cristiano Ronaldo meninggalkan arena bola sepak.


Dybala disenaraikan buat kali pertama dalam empat perlawanan terakhir Serie A dan terbukti menjadi wira apabila menyudahkan dua gol lewat bagi memberi kemenangan 3-1 untuk pasukannya mengatasi Verona awal pagi tadi dan satu mata menghampiri pendahulu, Napoli.

Pemain berusia 24 tahun itu berhempas-pulas mencari prestasi terbaiknya sejak beberapa bulan lalu dan komitmennya turut dipersoalkan oleh Naib Presiden Juventus, Pavel Nedved.

Sebelum menentang Verona, Allegri mendakwa perbandingan dengan pemain legenda telah "merosakkan" Dybala, tetapi ketua jurulatih berkenaan mengakui pemain itu memperagakan persembahan individu cemerlang di Stadium Marc'Antonio Bentegodi.

"Ia penting untuk dia menjaringkan gol lagi dan selepas gol pertama, dia kelihatan lebih tenang," kata Allegri kepada Premium Sport.

"Apabila Messi dan Ronaldo semakin tua, Neymar dan Dybala akan menjadi pemain terbaik di dunia.

"Masa depan dia masih jauh dan saya tahu prestasinya boleh bertambah baik," katanya.

Bekas jurulatih AC Milan itu tidak begitu gembira ketika mengulas mengenai persembahan kolektif di mana Juventus tidak memanfaatkan beberapa peluang selepas jaringan pertama mereka dihasilkan Blaise Matuidi.

"Kami gembira walaupun kami tahu kami tidak bermain cemerlang," katanya.

"Kami berisiko sedikit kerana membuat banyak kesilapan yang memberikan gol kepada lawan. Verona bermain bagus sehingga kami sedar kami juga perlu bermain dengan baik.

"Napoli berada pada 48 mata, jadi kami tahu kami memerlukan tiga mata," ujarnya.

Allegri menambah: "Masih terdapat banyak perlawanan di depan, jadi kami perlu terus mara. Napoli luar biasa pada 2017 dan mereka bermain dengan hebat. Kami sedang menunggu mereka tergelincir."