Penyerang Juventus, Paolo Dybala, gembira bermain di samping Cristiano Ronaldo dan tidak berminat meninggalkan pasukannya, Juventus.

Manchester United sebelum ini dikhabarkan berminat untuk menyatukan kembali pemain itu dengan bekas rakan sepasukannya, Paul Pogba.

Dybala, 25, menjaringkan gol tunggal ketika kemenangan 1-0 Juventus dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah di Old Trafford, Oktober lalu.

Peranannya kini terpaksa diubah ekoran kemasukan Ronaldo dalam pasukan.

Bekas pemain Palermo itu menjaringkan dua gol dalam sembilan penampilan liga musim ini, namun dia tidak berminat untuk meninggalkan pasukan juara Serie A tersebut.

"Saya tidak terfikir langsung tentang perpindahan.

"Saya gembira bersama Juventus dan sedang fokus untuk memenangi kesemua gelaran di sini," katanya kepada Mirror Football.

Ronaldo mencuri perhatian selepas menjaringkan sembilan gol dalam semua kejohanan sebaik berpindah daripada Real Madrid.

Dybala yakin dia mampu bekerjasama dengan penyerang itu bagi membentuk gandingan yang harmoni buat Juve.

"Kami gembira untuk bergandingan sejak Ronaldo tiba di sini.

"Kami berganding baik setakat ini dan menjaringkan gol-gol penting buat Juve.

"Cristiano baru tiba di sini, namun kami tahu kepentingannya kepada pasukan.

"Kami cukup mengenali corak permainannya.

"Sudah pasti kami perlu melakukan beberapa perubahan, namun kami gembira dapat menghasilkan jaringan bersama-sama," katanya.