Kelibat Paulo Dybala bagi merobek kubu Lyon dalam Liga Juara-Juara (UCL) masih samar, namun Maurizio Sarri sudah tidak sabar-sabar untuk mempertaruhkan Cristiano Ronaldo untuk mengetuai jentera serangan Juventus.

Pemain antarabangsa Argentina itu digantikan ekoran masalah paha ketika skuad Bianconeri itu mengesahkan Scudetto selepas mencatat kemenangan 2-0 ke atas Sampdoria pada 26 Julai lalu.

Dia kemudian terlepas penutup kempen Serie A musim ini ketika Juve tumpas kepada Cagliari dan Roma, nampaknya dia terus dalam keraguan untuk kembali berhitung dengan Lyon dalam pusingan 16 UCL di Turin, awal pagi esok.

Sarri berhasrat menurunkan Dybala memandangkan pasukannya mengalami defisit 0-1 berikutan pertemuan pertama Februari lalu.

"Dia masih di tangan petugas perubatan walaupun saya nampak dia melakukan sesuatu di lapangan dalam latihan," kata Sarri kepada wartawan.

"Kami akan lihat apa yang boleh dilakukannya esok pagi, kemudian berbincang dengannya dan doktor mengenai apa yang mampu dia lakukan."

Begitupun, tiada kesangsian terhadap kecergasan Ronaldo.



Pemain berusia 35 tahun itu mengakhiri kempen Serie A 2019-20 dengan 31 gol -- diatasi pemain Lazio, Ciro Immobile, dalam perebutan Kasut Emas -- apabila merekodkan 10 gol dalam 13 penampilan sejak Juve kembali menyambung baki kempen musim ini, Jun lalu.

Ronaldo direhatkan untuk perlawanan terakhir liga menentang Roma hujung minggu lalu selepas mengharungi jadual padat.

Sarri berasakan situasi itu menguntungkan pemenang Ballon d'Or lima kali berkenaan dan dia telah didorong oleh apa yang dilihatnya daripada pemain Portugis tersebut menjelang pertembungan getir dengan Lyon.

"Cristiano Ronaldo berlatih dengan baik, saya melihatnya menjaringkan gol yang sangat menakjubkan dalam latihan semalam," kata pengurus dari Itali itu.

"Dia telah terlibat dalam banyak perlawanan dalam jangka waktu yang singkat, jadi adalah tepat untuknya berehat beberapa hari sebelum menyambung latihan dengan ketekalan dan semangat.

"Dia mendekati perlawanan dengan langkah yang tepat."