Paulo Dybala mengakui bahawa beraksi buat Barcelona adalah sesuatu yang menarik tatkala penggempur itu masih menunggu kontrak lanjutan di Juventus.

Dybala, 26, menikmati musim yang baik sebelum saingan ditangguhkan ekoran wabak coronavirus selepas dikaitkan dengan perpindahan keluar dari Turin, tahun lalu.

Bintang Argentina itu dilaporkan bakal kekal di Juve, di mana dia memiliki kontrak sehingga 2022.

Namun, dia menjelaskan sesuatu yang bagus untuk dia menyertai rakan senegaranya di Barca, Lionel Messi.

"Hakikatnya, Barca adalah pasukan besar dan Messi menjadikannya lebih besar," katanya.

"Ia akan jadi sesuatu yang bagus tetapi Juve juga sebuah kelab hebat, sangat besar, mempunyai sejarah membanggakan serta diperkuatkan dengan pemain berkualiti.

"Terdapat kualiti yang cukup di sini untuk membentuk dia pasukan dan beraksi bersama Gianluigi Buffon dan Cristiano Ronaldo menjadikannya lebih besar."

Tatkala perpindahan ke Barca bakal menarik perhatian, kontrak lanjutan Dybala dikatakan bakal dimeterai.

Namun, pemain yang telah meledakkan 13 gol dan mencipta tujuh bantuan jaringan dalam 34 perlawanan musim ini itu berkata dia masih menunggu.

"Buat masa sekarang, tiada sebarang perkembangan. Saya memiliki setahun dan enam bulan dalam baki kontrak. Saya faham apabila situasi ini berlaku. Ia tidak mudah buat kelab tetapi pemain lain turut memperbaharui kontrak, jadi kami sedang menunggu," tambahnya.

"Jelas sekali saya adalah pemain Juve dan gembira berada di sini. Orang ramai menyayangi saya dan saya juga begitu. Saya sangat menghargai kelab dan orang sekeliling di sini. Saya juga mempunyai hubungan erat dengan presiden dan mereka ada datang berbincang.

"Pada satu ketika, terdapat kemungkinan untuk melanjutkan kontrak tetapi ia bergantung kepada Juventus."