Bekas pengendali Selangor, Mehmet Durakovic, tidak menyembunyikan minatnya menjadi pengendali Felda United jika kepemimpinan kelab itu memberikan kepercayaan kepadanya.

Bagi Durakovic, Felda adalah sebuah pasukan mantap yang mampu terus muncul pencabar utama kejuaraan musim depan.

Bekas pertahanan antarabangsa Australia ini menyedari bahawa tekanan dan harapan tinggi selaku pengendali Felda, namun bersedia menghadapinya.

“Saya mahu mengendalikan pasukan-pasukan gergasi, Felda kini mampu bersaing bersama JDT dan Selangor.

"Saya menyedari terdapat tekanan untuk mengambil alih tugas di kelab-kelab besar ini dan saya merupakan bekas pemain, jadi saya yakin mampu menghadapi cabaran ini,” jelasnya.

Tambah Durakovic, memandangkan Felda akan bersaing dalam saingan Piala AFC musim depan, dia mampu menawarkan pengalamannya.

“Saya memiliki pengalaman mengendalikan pasukan di pentas ini, tetapi segala keputusan terletak di tangan pihak pengurusan untuk memilih pengendali yang mereka inginkan.”

Sebelum ini, Setiausaha Agung Felda United, Zulkarnain Muhammad, mengesahkan empat calon jurulatih sudah disenarai pendek selaku pengendali kelab itu untuk musim 2017.

Difahamkan, Durakovic adalah antara empat calon tersebut.

Gambaran lebih jelas siapa pengendali The Fighters musim depan bakal terjawab, selepas kelab itu mengadakan mesyuarat lembaga pengarahnya 17 Oktober ini.