Pengurus Manchester City, Pep Guardiola, berkata dunia bola sepak beruntung kerana dapat menyaksikan "dua fenomena" dalam persembahan yang dipamerkan oleh Lionel Messi dan Cristiano Ronaldo.

Lebih daripada 10 tahun, Ronaldo dan Messi kekal sebagai perbualan utama dan masih lagi berada di tahap terbaik walaupun usia mereka sudah melebihi 30 tahun.

Setiap anugerah Ballon d'Or sejak Kaka memenanginya pada 2007 dibawa pulang oleh Ronaldo atau Messi, dan mereka kini berkongsi lima gelaran.

Guardiola memiliki pengalaman mengendalikan Messi ketika di Barcelona dan percaya dia dan Ronaldo berada di tahap yang berbeza.

"Messi seorang yang kompetitif, binatang yang buas," kata Guardiola.

"Ia membantu pemain-pemain lain turut memiliki sifat yang sama. Dia tidak gemar untuk kalah dan memiliki keinginan untuk meraih kemenangan dalam setiap perlawanan. Dalam perlawanan utama, jika pasukan membantunya, dia akan mencipta sesuatu.

"Menyaksikan mereka beraksi, dunia bola sepak sangat beruntung kerana dapat melihat dua fenomena dalam satu era.

"Mereka menjaringkan 50 gol semusim dalam tempoh 10 tahun. Ia adalah satu pencapaian yang menakjubkan," katanya lagi.