Akademi Tunas (AT) Keningau bangga apabila dua penjaga gol mereka terpilih menerima anugerah penjaga gol terbaik sempena Karnival Kebangsaan Liga Akademi Tunas Zon (KKLATZ) 2016 yang berlangsung di Gambang, Pahang, baru-baru ini.

Dua pemain berkenaan ialah Ibrahim Mustapha bagi kategori 12 bawah tahun dan Oscar O' Hara (bawah 11 tahun).

Ketua jurulatih pusat AT Keningau, Carol Peter @ Robin ketika dihubungi, berkata beliau gembira dan berharap pencapaian itu akan dijadikan suntikan semangat kepada pemain dan jurulatih untuk menjadi lebih maju pada masa akan datang.

"Dua pemain ini juga telah menunjukkan prestasi baik dalam Karnival Liga AT Zon Sabah dan Labuan bulan lalu dan mereka memang layak menerima anugerah berkenaan.

"Saya juga mengucapkan tahniah kepada semua jurulatih, termasuk Stanley Ian Junaidi, yang banyak membantu dan melatih penjaga gol pasukan AT Keningau sehingga mereka berjaya meraih pencapaian yang hebat," katanya.

Tambah Carol, beliau juga berterima kasih kepada ketua jurulatih remaja negeri, Omar Maya Amat, serta Penyelaras Daerah Zon Sabah, Hassim Hamzah dan Onus Amat, kerana banyak membantu pasukan AT Keningau selama ini.

Selain Ibrahim dan Oscar, dua lagi pemain pilihan Sabah/Labuan dalam KKLATZ turut menerima anugerah, iaitu Mohd Khairil dari AT Tawau, yang menerima anugerah pertahanan terbaik kategori bawah 12 tahun dan Mohd Saifuddin Abdullah yang dipilih sebagai pemain tengah terbaik bagi kategori bawah 11 tahun.

Difahamkan, KKLATZ hanya menyediakan hadiah untuk anugerah individu manakala perlawanan-perlawanan yang diharungi lebih kepada memberi pendedahan dan pengalaman kepada pemain serta bagi menilai keberkesanan penyampaian jurulatih di setiap AT.