Saingan bola sepak Liga Malaysia akan menjadi lebih mencabar selepas ini apabila Usahasama Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP) memperkenalkan secara rasmi liga divisyen lima yang dikenali dengan nama Liga M5.

Liga M5 menyaksikan sebanyak 14 penganjur liga komuniti dan sosial dipilih untuk permulaan bagi musim 2018.

Ia membabitkan sembilan liga dari Lembah Klang, dua dari Terengganu dan masing-masing satu dari Johor, Melaka dan Pahang.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif FMLLP, Kevin Ramalingam, pemenang-pemenang bagi Liga M5 akan meraih slot automatik ke Liga M4 2019 yang juga merupakan divisyen empat, sekali gus hanya selangkah sebelum ke Liga FAM.

"Ya, untuk masa akan datang akan ada penurunan dan kenaikan divisyen buat semua liga. Itu adalah cara bagaimana struktur bola sepak Malaysia disempurnakan.

"Tiada istilah jalan pintas untuk ke liga atasan kerana anda harus bermula daripada Liga M5," katanya.

"Dari situ kita boleh lihat peluang buat pemain-pemain tidak terhad kepada Liga FAM sahaja selepas kewujudan Liga M4 dan M5," tambah Ketua Pegawai Eksekutif Liga KVL Selangor, Khairil Anuar.

"Kewujudan Liga M5 membolehkan setiap pasukan yang menuju ke arah status semi pro melalui laluan yang baik," ujar Pengarah Teknikal Liga Bolasepak Subang, Syafiq Iqmal.