Pengerusi Jawatankuasa Program Naturalisasi Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Wira Yusoff Mahadi, mengesahkan terdapat dua pemain yang berada dalam radar badan induk itu, iaitu Harry Edge dan Marcel Kalonda, untuk dijadikan sebagai pemain berstatus warisan negara.

Bagai cendawan tumbuh selepas hujan, begitulah senario pemain berdarah campuran yang boleh mewakili negara ketika ini.

Yang terbaru, pemain kelahiran New Zealand, Edge, dan Kalonda dari Republik Congo, disahkan sebagai dua pemain yang sedang berada dalam pemerhatian FAM.

Menerusi satu perbualan video bersama wartawan Nadi Arena, Zulhelmi Zainal Azam, Yusoff berkata: "Apabila kami sudah mengesahkan bahawa mereka berdua ada darah warisan Malaysia, kami boleh memulakan proses untuk menjadikan mereka sebagai pemain berstatus warisan.

"Apapun, selepas setiap dokumen yang berkaitan sudah selesai kami kenal pasti, kami akan menilai mereka melalui jawatankuasa teknikal kami."

Yusoff turut mengesahkan bahawa FAM sudah menghubungi kedua-dua pemain berkenaan bagi melanjutkan proses yang berikutnya.

"(Selepas kami hubungi) mereka memberikan jawapan bahawa mereka akan menyediakan segala dokumen yang diperlukan.

"Sekarang ini, kami sedang menunggu mereka memulangkan dokumen itu semula agar kami dapat melihat sama ada dokumen itu boleh diterima atau tidak," katanya.