EINTRACHT FRANKFURT 0 BAYERN MUNICH 3

Franck Ribery muncul pemain tertua Bayern Munich yang menjaringkan lebih daripada satu gol dalam perlawanan Bundesliga ketika menjaringkan dua gol yang membantu pasukan itu menewaskan Eintracht Frankfurt 3-0, awal pagi tadi.


Dalam usia 35 tahun dan 259 hari, bekas penyerang kebangsaan Perancis itu meledak gol pertama Bayern dalam separuh masa pertama sebelum menggandakannya menerusi penyudah menarik dalam babak berikutnya.

Perlawanan itu mungkin menjadi lebih manis andai Robert Lewandowski berjaya menyudahkan hantaran daripada pemain veteran itu menerusi satu larian pantas.

Kemenangan Bayern disudahkan dengan jaringan Rafinha pada minit ke-89 yang juga memberikan rekod baru buat pengendali pasukan, Niko Kovac.

Juara bertahan itu kini memenangi lima perlawanan liga berturut-turut dan ia merupakan kali pertama Kovac memperoleh kejayaan seperti itu -- sama ada ketika bergelar pemain mahupun jurulatih -- dalam liga utama Jerman.

Kemenangan itu memastikan Bayern menamatkan tahun ini dengan jurang enam mata di belakang pendahulu liga, Borussia Dortmund.