ALBANIA 0 SCOTLAND 4

James Forest menjaringkan dua gol untuk membantu Scotland menewaskan Albania 4-0 dalam aksi Kumpulan 1, Liga C, Liga Negara-Negara Eropah, awal pagi tadi.


Kemenangan itu menyaksikan persaingan merebut kedudukan teratas kumpulan kembali terbuka dan bakal ditentukan dalam perlawanan terakhir di antara Scotland dan Israel, minggu depan.

Skuad kendalian Alex McLeish itu berada dalam kedudukan bahaya sebelum perlawanan, namun mereka memaparkan aksi cemelang di Shkoder dengan Forest menghasilkan jaringan berganda selepas Ryan Fraser dan Steven Fletcher meletakkan Scotland selesa dengan dua gol di depan dalam separuh masa pertama.

Kapten Albania, Mergim Mavraj, memudahkan kemenangan itu apabila dia dilayangkan kad merah selepas menanduk Ryan Christie tidak lama selepas jaringan Fraser pada minit ke-14.

Albania kini terporosok di dasar kumpulan dan berdepan risiko penyingkiran yang bergantung kepada keputusan perlawanan-perlawanan kumpulan lain.

Fraser memanfaatkan kesalahan Taulant Xhaka sebelum menghasilkan gol pembukaan pelawat.

Scotland tidak memberikan sebarang ancaman selepas itu sehingga Rey Manaj dipersalahkan selepas menahan sepakan percuma Stuart Amstrong dengan tangan.

Fletcher menyudahkan sepakan penalti itu untuk menamatkan kemarau jaringan bersama pasukan kebangsaan sejak September 2016.

Mereka menambah jaringan 10 minit selepas babak kedua bermula apabila Forrest yang menerima hantaran terus Christie menyudahkan jaringan menerusi situasi satu lawan satu yang menewaskan Etrit Berisha.

Pemain sayap Celtic itu menggandakan jaringan peribadinya pada minit ke-67 untuk memastikan Scotland kini terikat enam mata bersama Israel di kedudukan teratas kumpulan.