CHELSEA 3 RENNES 0

Frank Lampard gembira dengan Timo Werner yang cepat menyesuaikan diri di Chelsea selepas penyerang itu meledak dua sepakan penalti dalam babak pertama untuk kemenangan 3-0 ke atas Rennes dalam kempen Liga Juara-Juara (UCL) di Stamford Bridge, awal pagi tadi.


Werner menyumbat gol pembukaan pada minit ke-10 selepas dijatuhkan Dalbert Henrique, yang kemudian diperintah keluar padang kerana memungut kad kuning kedua akibat bola terkena tangannya, sekali gus membuka ruang buat pemain berusia 24 tahun itu menyempurnakan jaringan keduanya.

Tammy Abraham menokok gol ketiga selepas rehat untuk The blues melonjak ke puncak Kumpulan E menerusi tujuh mata di samping Sevilla.

Dua penalti itu adalah satu-satunya tembakan Werner ke arah gawang, sementara - dari kedudukannya di sebelah kiri tiga depan - dia juga gagal mencipta peluang untuk rakan sepasukannya.

Begitupun, di sebalik permulaannya yang agak goyah, penggempur dari Sepanyol itu sudah merekodkan tujuh gol sejak kehadirannya dari RB Leipzig dengan yuran £47.5 juta (RM j).

Lampard menganggap perjanjian yang dimuktamadkan pada Jun lalu itu membolehkan Werner untuk mengikuti latihan pra-musim, ia amat penting untuknya membuat permulaan yang mengagumkan.

"Ia satu bonus besar buat kami memandangkan dia dapat berlatih dengan kami lebih awal," katanya dalam sidang akhbar.



"Dia segera menyesuaikan diri dan mudah dibimbing. Dia bekerja keras dan beraksi dengan baik. Saya berasakan dia mempunyai daya tahan untuk beraksi sepanjang 90 minit. Saya sangat gembira dengannya."

Lampard juga mengesahkan Werner -- yang turut mencetak gol di Krasnodar minggu lalu -- akan menggantikan peranan Jorginho apabila kini merupakan pilihan utama untuk mengambil sepakan penalti

"Saya telah berbincang dengan Jorginho terlebih dahulu kerana dia juga melaksanakan tugas itu cemerlang," katanya.

"Saya berasa sudah tiba masanya untuk melakukan perubahan. Dia baik-baik saja dengan keputusan ini. Timo melakukannya dengan baik hari ini.

"Timo kini orang yang bertanggungjawab dalam soal sepakan penalti tetapi dia juga harus terus mencetak gol."

Kelab London itu turut mengumumkan Kai Havertz tidak dapat diturunkan selepas pemain berusia 21 tahun itu diperintahkan supaya mengasingkan diri selepas diuji positif COVID-19.

"Ia dikesan dalam ujian calitan dikendalikan UEFA (Kesatuan Bolasepak Eropah) Isnin lalu," kata Lampard mengenai Havertz.

"Kami ada melakukan ujian calitan semalam tetapi orang lain dalam skuad ini negatif.

"Saya sempat bercakap dengannya beberapa kali. Sekarang dia mengasingkan diri di rumah. Dia mempunyai gejala kecil tetapi dia baik-baik saja. Saya bercakap dengannya dua jam sebelum perlawanan. Dia telah mengambil langkah betul."