BAYERN MUNICH 1 REAL MADRID 2

Dua gol dalam separuh masa kedua oleh Cristiano Ronaldo mengesahkan kemenangan 2-1 Real Madrid ke atas Bayern Munich di Allianz Arena, sekaligus membawa bekalan selesa menjelang aksi suku akhir kedua Liga Juara-Juara Eropah.


Kapten Portugal itu meledak gol pertama dua minit selepas bermulanya babak kedua, lantas menyamakan kedudukan selepas Arturo Vidal meletakkan pasukan tuan rumah di depan pada minit ke-25.

Bayern menguasai hantaran bola, namun selepas Vidal gagal menyempurnakan sepakan penalti, senario itu membenarkan Madrid kembali bangkit.

Keadaan bertambah parah buat anak buah Carlo Ancelotti apabila bek tengah, Javi Martinez, dibuang padang selepas menerima layangan kad kuning kedua pada minit ke-61.

Babak pertama sememangnya menjadi milik Bayern dengan Vidal menjadi fokus utama serangan buat pasukan tuan rumah.

Meskipun meledak gol menerusi tandukan tajam, pemain tengah Chile itu gagal melunaskan peluang kedua sebelum sepakan penalti diambilnya melambung tinggi.

Madrid bangkit dengan gol penyamaan Ronaldo dalam kejohanan itu sejak 27 September lalu dan kehilangan Martinez membenarkan skuad kendalian Zinedine Zidane menguasai perlawanan walaupun pada awalnya senario itu kelihatan malap.

Gol kedua Ronaldo -- yang ke-100 di pentas kejohanan Eropah -- memastikan kemenangan berharga Los Blancos menjelang aksi suku akhir kedua.