Didier Drogba berpandangan bahawa penyerang Liverpool dan Senegal, Sadio Mane, berhak memenangi Ballon d'Or 2019 selepas menyerlah selama 12 bulan untuk kelab dan skuad kebangsaan.

Mane turut beraksi dalam setiap 13 perlawanan Liverpool dalam Liga Juara-Juara (UCL) dan menamatkan saingan selaku penjaring terbanyak Liga Perdana Inggeris (EPL) bersama Mohamed Salah dan Pierre-Emerick Aubameyang.

Pemain berusia 27 tahun itu turut membantu Senegal melangkah ke final Piala Negara-Negara Afrika ketika mereka tewas 1-0 kepada Algeria.

Mane telah memulakan musim 2019-20 dengan cemerlang dan kini tersenarai dalam senarai pendek 30 pemain untuk merebut anuegerah Ballon d'Or.

Dia menerima sokongan daripada bekas legenda Chelsea, Drogba.

"AFCON, UCL dan EPL," kata Drogba. "Apa yang dilakukannya di England hanya mampu dicapai oleh segelintir pemain sahaja.

George Weah merupakan pemain Afrika yang memenangi anugerah tersebut pada 1995 dan Drogba tidak sabar untuk Bola Emas itu sekali lagi dimenangi oleh pemain dari benua Afrika.

"Ramai pemain telah mewakili benua Afrika sebelum ini, seperti Samuel Eto'o," katanya lagi.

"Saya akan berasa sangat gembira jika Mane atau Mohamed Salah memenangi trofi tersebut."