Pemain tengah Paris Saint-Germain (PSG), Julian Draxler, memuji kelibat Kylian Mbappe sambil menyifatkan rakan sepasukannya itu sebagai satu fenomena.

Mbappe, 19, telah menyumbat 10 gol dalam tujuh perlawanan liga, termasuk empat yang diraih sewaktu menentang Lyon, Ahad lalu.

Draxler, yang hanya melakukan tiga penampilan dalam kesebelasan utama musim ini, pantas bercakap tentang kelajuan yang dimiliki Mbappe.

"Bagi saya, anda tidak perlu bercakap banyak tentang budak lelaki ini. Dia adalah satu fenomena," kata Draxler.

"Dia memiliki kepantasan yang memukau. Saya rasa tidak ramai pemain yang mempunyai larian sepertinya dalam dunia bola sepak.

"Dia sangat berbahaya di depan gol, saya percaya semua orang lega bahawa dia merupakan rakan sepasukan kami."

Ditanya mengenai apa yang boleh dipelajari daripada Mbappe, Draxler menjawab: "Saya berharap dapat menjadi pantas sepertinya tetapi saya tidak."

PSG mencipta rekod baru dalam Ligue 1 apabila memenangi sembilan perlawanan berturut-turut untuk memastikan kelebihan lapan mata di puncak kedudukan.