Kelab Jerman, Borussia Dortmund, telah dikenakan penggantungan daripada beraksi di stadium untuk satu perlawanan Bundesliga oleh Persatuan Bolasepak Jerman (DFB) ekoran tindakan penyokongnya yang menimbulkan masalah dalam aksi final DFB-Pokal musim lepas.

DFB mengumumkan semalam bahawa Dortmund perlu membayar denda berjumlah EUR95,000 (RM474,000) selepas bunga api dinyalakan oleh penyokong Die Borussen dalam aksi di Berlin itu.

Penyokong Dortmund juga tidak dibenarkan menonton satu perlawanan liga di tempat lawan dan kelab perlu membayar semula kerugian yang ditanggung oleh pasukan tuan rumah jika mereka melanggar peraturan semula sepanjang tempoh percubaan pada musim depan.

“Penyokong BVB hanya boleh membawa kain sokongan (termasuk bendera besar dan kain rentang) dengan kebenaran bertulis daripada kelab.

“Walaupun ketika perlawanan di tempat lawan, BVB akan menyemak semula dengan pasukan tuan rumah dan jika terdapat sebarang elemen yang bertentangan, segala kain sokongan untuk Dortmund akan disekat sehingga penghujung musim 2017/18,” kata satu kenyataan daripada DFB.

Dalam masa sama, Dortmund juga dihukum atas kelakuan penyokong dalam dua perlawanan menentang Bayern Munich musim lepas tetapi hukuman itu menimbulkan rasa tidak puas hati daripada pihak kelab.

“”Penyokong BVB telah diugut dengan pelbagai perkara, termasuk penggantungan aksi di stadium untuk satu aksi Bundesliga di tempat lawan dan ia adalah sesuatu yang memberikan kesan besar kepada kewangan,” kata wakil Dortmund.