Borussia Dortmund telah memecat ketua jurulatih, Peter Bosz, dan melantik bekas pengendali Cologne, Peter Stoger, sebagai pengganti hingga tamat musim 2017-18.

Dortmund hanya memenangi enam perlawanan pembukaan saingan Bundesliga dan menungguli takhta liga selepas tujuh perlawanan ketika dikendalikan oleh Bosz.

Tetapi selepas tewas 2-1 di laman sendiri kepada Werder Bremen, masa bekas pengendali Ajax itu telah sampai penghujungnya.

Dortmund turut membazirkan pendahuluan 4-0 apabila seri 4-4 ketika bertemu Schalke dalam perlawanan terakhir di laman sendiri, sekaligus meletakkan Bosz dalam keadaan tertekan.

Stoger telah dikaitkan dengan kerusi panas pengurus Dortmund pada penghujung musim lalu sebelum Bosz dilantik sebagai pengganti Thomas Tuchel, selepas membantu Cologne beraksi dari Bundesliga 2 hingga ke Liga Europa.

"Saya sangat terkejut dengan berita ini tetapi ia adalah satu peluang yang terbaik dan saya mengambil tanggungjawab yang besar," kata Stoger.

"Saya amat teruja bekerja dengan pasukan dalam stadium ini. Ia amat istimewa," ujarnya.

Perlawanan pertama Stoger menyaksikan Dortmund akan bertemu Mainz manakala aksi di laman sendiri bertemu Hoffenheim sebelum menghadapi tugas sukar dalam saingan Piala DFB-Pokal menentang Bayern Munich.