Pierre-Emerick Aubameyang percaya kepulangan Marco Reus daripada kecederaan mampu menghadirkan impak positif bagi Borussia Dortmund musim ini.

Pemain kebangsaan Jerman itu telah diketepikan sejak hujung musim lalu dengan susulan kecederaan yang memaksanya turut terlepas aksi Euro 2016 di Perancis.

Namun, pemain berusia 27 tahun itu telah kembali menyertai latihan bermula minggu lalu.

Tatkala Reus semakin hampir untuk membuat penampilan musim ini, Aubameyang berkata pemain itu memainkan watak penting dalam memastikan mereka tidak ketinggalan di belakang pendahulu, Bayern Munich.

"Satu petanda yang baik apabila melihat dia kembali berlatih," kata pemain kebangsaan Gabon itu. "Kami perlukan Marco.

"Saya ada menghantar mesej kepadanya, mengingatkan kepentingannya terhadap pasukan.

"Bukan sahaja saya, bahkan seluruh kelab -- kami menyokongnya. Kami harap dia cepat kembali."

Dortmund ketika ini menghuni tempat keenam liga selepas lapan perlawanan, enam mata di belakang pendahulu, Bayern.