BARCELONA 3 BORUSSIA DORTMUND 1

Ernesto Valverde memuji persembahan mengagumkan Lionel Messi selepas bintang dunia itu mengetuai Barcelona untuk mengatasi Borussia Dortmund dalam pertembungan Liga Juara-Juara (UCL) awal pagi tadi.


Messi menyumbat gol sambil menghasilkan dua bantuan jaringan dalam perlawanan ke-700 bersama Barcelona untuk menguasai Kumpulan F itu hasil kemenangan 3-1 di Camp Nou.

Tatkala Messi dan Luis Suarez saling bergabung untuk dua gol pertama, dia turut mencipta gerakan buat jaringan Antoine Griezmann dalam babak kedua.

Valverde memuji prestasi Messi itu apabila mengatasi rekod UCL dengan menghasilkan gol ke atas lawan berbeza yang ke-34.

"Luis dan Leo memahami satu sama lain dengan sempurna kerana mereka telah lama bergandingan. Pada mulanya ia tidaklah seperti itu," kata pengendali Barcelona berkenaan kepada AS.

"Messi merupakan seorang pengumpan bola yang luar biasa dan Griezmann pula menemui ruang. Anda hanya perlu mencari masa yang tepat.

"Berkenaan corak permainan Leo, apa yang saya mahu katakan? Ia cukup luar biasa. Bukan sahaja atas apa yang dilakukannya tetapi ketika dia melakukannya."

Griezmann bermula di bangku simpanan tetapi dimasukkan dalam babak pertama berikutan kecederaan paha yang dialami Ousmane Dembele.

Valverde kecewa apabila pemain antarabangsa Perancis tersebut kerap dibelenggu kecederaan sejak berpindah ke Barca daripada Dortmund pada 2017.

"Saya tidak tahu sama ada ia kecederaan berulang atau bahagian kaki yang mana satu. Ia satu gerakan yang jarang berlaku kerana dia sedang melompat yang menyaksikan kakinya ke belakang, saya tidak pasti," katanya.

"Kami tumpang sedih untuknya memandangkan kami meneruskan kemaraan tetapi berita buruknya adalah kecederaan yang dialaminya.

"Kami tahu dia menderita dan kami sedia membantunya."