Dortmund lengkapkan perpindahan tetap Alcacer

Oleh Penulis Jemputan 24 November 2018 434
Dortmund lengkapkan perpindahan tetap Alcacer
Borussia Dortmund telah mengaktifkan pilihan untuk melengkapkan perpindahan tetap buat penyerang prolifik, Paco Alcacer, daripada Barcelona menerusi kontrak sehingga 2023.

Penyerang Sepanyol, Alcacer, telah melepasi jangkaan sejak dipinjamkan ke Dortmund, Ogos lalu, dan prestasi cemerlang yang dipamerkannya telah membuatkan pendahulu Bundesliga itu bersetuju untuk membayar EUR23 juta (RM109 juta) bagi mendapatkannya secara tetap.

Pemain berusia 25 tahun itu tampak gagal menunjukkan kemampuan sebenar di Camp Nou tetapi mempamerkan kebangkitan dengan sembilan gol dalam semua kejohanan musim ini.

Kecemerlangannya itu termasuk gol kemenangan ketika Dortmund mengatasi Bayern Munich 3-2 dalam aksi Der Klassiker, yang membolehkan anak buah Lucien Favre itu selesa dengan kelebihan tujuh mata mengatasi juara bertahan itu.

"Saya sangat gembira di Dortmund bersama pasukan indah ini," kata Alcacer.

"Borussia Dortmund merupakan keputusan tepat untuk saya. Saya akan melakukan apa sahaja untuk mengucapkan terima kasih di atas kepercayaan yang diberi."

Perpindahan itu juga melibatkan tambahan EUR5 juta (RM23 juta) untuk bayaran tambahan.

Pengarah Sukan Dortmund, Michael Zorc, memuji kesan yang dibawa oleh bekas penggempur Valencia itu dalam tempoh yang pendek dan yakin penyerang itu mampu kekal lama di Signal Iduna Park.

"Kami telah memberitahu Barca semalam bahawa kami akan mengaktifkan pilihan," ujar Zorc.

"Alcacer beraksi sepenuh hati bersama kami. Dia pantas dan menjadi tonggak utama skuad.

"Dia merupakan penjaring gol yang mempunyai kualiti dan menentukan keputusan dalam beberapa aksi penting buat kami. Kami tidak sabar melihat lebih banyak jaringan dan bantuan daripadanya."

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen