DORTMUND 1 UNION 1
(Dortmund mara menerusi penentuan sepakan penalti 3-0)

Penjaga gol, Roman Weidenfeller, menyelamatkan maruah Borussia Dortmund daripada tercalar apabila menjadi wira dalam penentuan sepakan penalti, untuk pasukannya mara ke pusingan ketiga Piala DFB-Pokal selepas seri 1-1 dengan Union Berlin.


Weidenfeller, yang berpengalaman luas, bertindak cemerlang dengan menangkis dua sepakan penalti awal Union sebelum tendangan Philipp Hosiner mengenai palang gol untuk memberikan Dortmund kemenangan 3-0 selepas aksi menentang kelab divisyen dua itu berlanjutan selama 120 minit.

Dortmund seakan-akan berada di landasan tepat selepas jaringan sendiri oleh Michael Parensen pada separuh masa pertama.

Steven Skrzybski, bagaimanapun, mengheret perlawanan ke masa tambahan selepas menyamakan kedudukan ketika perlawanan sebenar berbaki 10 minit.

Dengan Pierre-Emerick Aubameyang, Christian Pulisic, Marc Bartra, Marco Reus dan Andre Schurrle diketepikan akibat kecederaan, Thomas Tuchel sudah tentu mahu mengelak perlawanan daripada diheret ke masa tambahan.

Union, yang berada di tangga kedua divisyen dua Bundesliga hasil daripada enam kemenangan dalam tujuh perlawanan, berjaya membayangi finalis musim lalu itu.

Mereka terlebih dahulu menguji kubu Dortmund menerusi Kenny Price Redondo. Union semakin hampir untuk menyamakan kedudukan pada minit ke-69, namun Kristian Pedersen didapati berada dalam kedudukan ofsaid ketika melakukan tandukan.

Sambil Union terus memastikan Dortmund buntu di jentera serangan, mereka sempat menghadirkan cemas apabila memperolehi peluang terhidang pada babak pertama masa tambahan.

Ousmane Dembele, Matthias Ginter dan Mario Gotze jelas memiliki keyakinan tinggi dalam situasi sukar untuk menyempurnakan misi mereka dalam penentuan sepakan penalti untuk membantu Dortmund mengelak daripada menerima keputusan mengejut.