DORTMUND 1 SPORTING CP 0

Bos Borussia Dortmund, Thomas Tuchel, enggan mendedahkan punca sebenar beliau menggugurkan Pierre-Emerick Aubameyang dalam pertemuan Liga Juara-Juara dengan Sporting CP.




Skuad kendalian Tuchel itu seperti tidak merindui sentuhan penyerang tersebut di Signal Iduna Park, di mana penggantinya -- Adrian Ramos -- mengesahkan tempat mereka ke peringkat kalah mati menerusi gol tandukan pada minit ke-12.

Bagaimanapun, penggantungan Aubameyang yang akan berakhir pada hari ini, telah mencetuskan khabar angin yang mengaitkan penyerang Gabon itu dengan penghijrahan pada Januari nanti sekiranya bukan lagi menjadi pemain pilihan utama Tuchel, selepas jurulatih itu mendakwa dia 'tiada pilihan' selain menggugurkan bintang handalan mereka itu.

"Memang sukar tanpanya," ujar Tuchel, sebelum mengesahkan Aubemeyang mungkin diturunkan dalam aksi Bundesliga menentang Hamburg, Sabtu ini.

"Tapi saya tiada pilihan. Keputusan telah dibuat tengah hari semalam. Untuk perlawanan akan datang, dia akan kembali.

"Punca dalaman yang berlaku akan kekal sebagai rahsia dalaman. Saya tidak mahu mengambil pusing tentang spekulasi."

Dalam pertemuan Kumpulan F itu, Sporting hampir mencuri mata pada saat akhir apabila tandukan jarak dekat Bryan Ruiz tersasar.

Tuchel pantas memuji pasukan lawan yang dibimbing Jorge Jesus itu, dengan mengiktiraf Dortmund berdepan kesukaran untuk menyesuaikan diri selepas dia mengubah strategi selepas waktu rehat.

"Kami mengambil positif hasil keputusan ini," tambahnya. "Kami mahu empat pemain tengah membantu menguasai permainan. Sama ada idea itu atau pelaksanaannya yang tidak bagus. Sporting lebih berani.

"Kami berdepan kesukaran yang besar. Kami gagal memperagakan aksi sebenar.

"Kami melakukan kesilapan di bahagian pertahanan. Tapi kami mara selepas perlawanan keempat. Terdapat pemain yang mendapat peluang beraksi di mana mereka tidak semestinya bermain. Kami sangat gembira dengan keputusan ini."