Borussia Dortmund telah memberikan gambaran jelas bahawa mereka tidak mahu menjual Erling Haaland dalam jendela perpindahan yang akan datang, kata ejen kepada penyerang itu, Mino Raiola.

Haaland, tanpa disangkal, telah menjadi pemain paling diinginkan di Eropah pada ketika ini susulan prestasi individu gemilangya bersama Dortmund walaupun pasukan itu kelihatan tidak konsisten.

Haaland telah menjaringkan 33 gol dan melakukan sembilan bantuan jaringan menerusi 34 penampilannya dalam kesemua kejohanan musim ini. Dalam lima liga utama Eropah, hanya Robert Lewandowski (50), Harry Kane (45) dan Kylian Mbappe (43) telah terlibat secara langsung dengan lebih banyak gol.

Dengan pemain berusia 20 tahun itu semakin menyerlah di Signal Iduna park dan Dortmund pula berdepan cabaran untuk layak ke Liga Juara-Juara Eropah (UCL) musim depan, terdapat spekulasi bahawa pemain itu mahu mencri destinasi baru menjelang penghujung musim ini.

Manchester City, Manchester United, Chelsea, Real Madrid dan Barcelona turut dicanang sebagai pasukan yang mungkin menjadi destinasi pilihan buat Haaland.

Raiola, bagaimanapun, berkata Dortmund telah menegaskan bahawa mereka masih belum bersedia untuk menjual ayam tambatan itu tahun ini tetapi memberikan gambaran bahawa dia akan terus berbincang dengan pihak yang berminat.

"Saya boleh mengesahkan bahawa saya sudah mengadakan perbincangan di Dortmund," kata Raiola kepada Sport1.

"Hubungan saya dengan (Pengarah Dortmund) Michael Zorc, Aki Watzke dan Sebastian Kehl baik seperti sebelum ini.

"Zorc sudah memberikan gambaran jelas bahawa Dortmund tidak mahu menjual Erling musim panas ini. Saya menghormati pandangannya, yang tidak bermaksud saya secara automatik mempunyai pandangan sama.

"BVB sudah memberikan gambaran jelas mengenai pandangan mereka. Ia baik-baik sahaja buat kami," katanya.