Keengganan Gianluigi Donnarumma melanjutkan kontraknya bersama AC Milan meningkatkan lagi spekulasi mengenai masa depan penjaga gol muda itu.

Situasi itu dijelaskan ejennya, Mino Raiola, yang mendakwa Donnarumma hanya akan memuktamadkan perjanjian baru selepas selesai proses mengambil alih kelab oleh pelabur baru.

Donnarumma, 17, memiliki kontrak sehingga 2018 bersama Milan dan dikaitkan ke kelab besar Eropah, termasuk Chelsea, Juventus dan Manchester City.

Syarikat China, Sino-Europe Sports, hampir pasti mengambil alih kelab yang berpangkalan di San Siro itu selepas menandatangani perjanjian pada Ogos lalu.

Begitupun, proses mengambil alih dan hala tuju kelab adalah faktor yang akan mempengaruhi keputusan Donnarumma.

"Kami perlu menilai hala tuju Milan sebelum kami membuat keputusan," kata Raiola kepada TuttoMercatoWeb.

Rakan sepasukan Donnarumma, Ignazio Abate, berkeyakinan tinggi bahawa penjaga gol itu akan kekal.

"Secara jujurnya, saya tetap tenang," kata pertahanan itu kepada Premium Sport.

"Dia adalah peminat Milan, seperti yang saya katakan, dia sudah berada di sebuah kelab besar.

"Lambat-laun nanti kami akan bangkit di persada dunia bola sepak dan sudah pasti kami akan kekal dan menjadi bintang dengan seragam ini."

Donnarumma memainkan watak utama di depan gawang Milan sejak disenaraikan dalam skuad utama pada Oktober 2015.