Pemain pertahanan Borussia Monchengladbach, Alvaro Dominguez, terpaksa bersara awal ekoran masalah belakang yang berterusan dialaminya.

Pemain Sepanyol berusia 27 tahun itu membuat pengumuman di media sosial semalam selepas terpaksa akur dengan kecederaan yang berterusan itu.

Dominguez menjalani pembedahan belakang untuk kali kedua pada bulan September, dengan bekas pemain Atletico Madrid itu gagal untuk membuat sebarang penampilan dalam Bundesliga sejak November tahun lepas.

"Saya telah bermain dalam keadaan yang begitu sukar untuk beberapa tahun kebelakangan ini. Ia merupakan kewajipan saya untuk terus bermain," katanya dalam video yang disiarkan melalui akaun rasmi Twitternya.

"Ia telah membawa saya kepada dua siri pembedahan dan mendatangkan kesan yang masih saya rasai sehingga hari ini.

"Ini bermakn, hari ini saya perlu mengucapkan selamat tinggal kepada anda dan juga sukan yang menjadi minat saya sejak sekian lama. Tiada siapa yang suka untuk menjadi tidak berupaya pada usia 27 tahun. Ia merupakan harga yang sangat tinggi dan saya perlu membayarnya."

Selepas menyertai Gladbach pada tahun 2012, Dominguez telah membuat 80 penampilan walaupun dia hanya bermain dalam enam perlawanan musim lalu.

Dalam tempoh empat tahun di Atletico, dia telah membuat lebih 75 penampilan.