“Saya tumpang bangga pencapaian Norshahrul.”

Itu luahan jurulatih Pahang, Dollah Salleh, melihat kemampuan Norshahrul Idlan Talaha yang terus memukau di pentas Piala Suzuki AFF bersama Harimau Malaya selepas meledak empat jaringan dalam saingan peringkat kumpulan.

Sebelum kejohanan, Dollah pernah meramalkan Norshahrul akan menjadi watak penting kepada skuad negara dan tekaannya jelas tepat.

Dia berasa sangat puas melihat kelibat Norshahrul yang seolah-olah kembali menjelmakan sentuhan seperti mana ketika Piala Suzuki AFF 2010 dan 2014.

Bukan itu sahaja, Dollah turut memuji prestasi Mohamadou Sumareh yang banyak menjadi nadi penggerak serangan bersama Norshahrul.

"Terbukti dan saya selalu pesan kepadanya bahawa apabila berada di tahap seperti ini, dia perlu kekalkan.

"Saya akui ketika awal musim sewaktu ingin mendapatkan sentuhannya semula, kadang-kadang kami juga kecewa, ditambah dengan kecederaan yang dialami. Saya harap ia dapat dikekalkan beberapa tahun lagi," kata Dollah.

Sementara itu, B. Sathianathan yang juga bekas jurulatih kebangsaan, memuji pendekatan taktikal yang diterap oleh pengendali skuad negara, Tan Cheng Hoe.

Malah, dia berani meletakkan harapan skuad itu mampu melangkah ke perlawanan akhir dan muncul juara selepas kali terakhir memenanginya pada 2010.

"Jurulatih Myanmar kata Malaysia tiada penyerang tapi apabila sudah dibolosi tiga gol, dari mana datangnya.

"Pendapat saya, Malaysia di landasan terbaik kerana penguasaan bola dan permainan, kami lebih baik berbanding lawan. Semangat juga luar biasa berbekalkan taktik yang diterapkan Cheng Hoe. Ia amat sesuai," ujar Sathianathan.