Penyerang Ajax, Kasper Dolberg, bersetuju melanjutkan masa depannya dengan kelab itu apabila menandatangani kontrak baru.

Pemain berusia 21 tahun itu dikaitkan dengan kelab gergasi Eropah, termasuk Real Madrid dan Manchester United.

Begitupun, selepas melanjutkan setahun lagi kontraknya, Dolberg akan kekal bersama pasukan Eredivisie berkenaan sehingga 2022.

"Kami telah berunding mengenai kontrak baru untuk seketika dan saya gembira kerana ia berjaya dimuktamadkan," kata Dolberg kepada laman sesawang kelab itu. "Saya sangat gembira dengan Ajax.

"Saya yakin akan kembali ke prestasi sebenar dan saya perlu meneruskan apa yang telah saya tunjukkan dalam beberapa minggu yang lalu."

Dolberg menyumbat 16 gol dalam kempen liga 2016-17 untuk meletakkan namanya di bawah radar kelab elit Eropah.

Biarpun kecederaan menyekat kemajuannya, pemain antarabangsa Denmark tersebut telah menemui sentuhan pemusnah dalam empat perlawanan berturut-turut.

"Dia mengharungi tahun yang sukar," kata jurulatih Ajax, Erik ten Hag, dalam sidang akhbar. "Kami bernasib baik kembali memilikinya dan dia akan segera menemui rentak jaringan dalam setiap perlawanan.

"Perkembangan ini sangat bagus untuknya kerana dia menempuhi kesukaran hebat dan adalah sangat menyedihkan sekiranya pemain tidak dapat beraksi dalam tempoh yang begitu lama. Untuk berlatih secara berseorangan tanpa rakan sepasukan, ini bukan tempoh yang terbaik dalam kerjaya pemain.

"Bagaimanapun, dia berjuang untuk keluar daripada situasi ini. Dia sudah kembali ke pangkuan skuad, ia membuat kami sangat gembira, dia juga sangat gembira."

Ajax akan menyambut Benfica untuk perlawanan Liga Juara-Juara (UCL) awal pagi esok selepas mengikat Bayern Munich untuk menghuni tangga teratas Kumpulan E.