Dokumen sudah dihantar, FAS yakin isu pelesenan selesai

Oleh Rudi Affendi Khalik 24 Oktober 2017 660
Dokumen sudah dihantar, FAS yakin isu pelesenan selesai
Isu yang membabitkan Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS) dan Usahasama Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP) dijangka selesai apabila Lembaga Rayuan FMLLP bermesyuarat pada hujung minggu ini.

Setiausaha Agung FAS, Razali Dolhan, berkata sehingga tarikh tutup yang ditetapkan, FAS berjaya menyediakan segala dokumen yang dikehendaki oleh FMLLP.

"Sekarang ini, kami akan menunggu keputusan rayuan. Kami amat yakin dokumen yang diserahkan adalah mengikut apa yang diperlukan oleh pihak FMLLP," katanya ketika ditemui dalam Majlis Penerimaan Tajaan Piala Sarawak 2017 oleh Lea Sports Centre di Kuching.

Razali berkata beliau bersyukur kerana kerjasama baik yang diberikan oleh semua pihak, termasuk agensi kerajaan dan pihak FAS FMG Sdn Bhd.

"Untuk kes pada tahun 2017, kami telah memenuhi apa yang diperlukan. Setakat ini, tiada apa yang kami berhutang," katanya yang optimis pasukan itu dapat menyambung lesen untuk beraksi dalam Liga Malaysia dan lain-lain pertandingan pada tahun depan.

Sebelum ini, Presiden FAS, Datuk Posa Majais, melahirkan kebimbangan bahawa pasukan Ngap Sayot berkemungkinan terpaksa menarik diri setelah gagal menyediakan dokumen yang diperlukan FMLLP bagi memperbaharui lesen.

"Ini kerana dokumen yang diperlukan, termasuk akaun pasukan Sarawak yang telah diaudit untuk tempoh 2012-2016 tidak berada dalam simpanan kami.

"Maklumat itu sebaliknya dimiliki oleh pengurusan FAS sebelum ini, yang mengendalikan pasukan melalui sebuah anak syarikat yang dinamakan FAS FMG Sdn Bhd," katanya.

Bagaimanapun, kedua-dua pihak berjaya menyelesaikan isu terbabit sebelum tamat tempoh rayuan.

"Kami optimis akan mendapat perkhabaran positif sebelum sepak mula Sarawak dan T-Team. Setakat ini, mereka (FMLLP) telah melakukan semakan terperinci dan sering membuat pertanyaan susulan kepada kami (FAS)," tambahnya.

Sementara itu, menyentuh pertemuan terakhir Liga Super di antara Sarawak dan T-Team pada Sabtu ini, Razali meminta penyokong tuan rumah untuk memenuhi Stadium Negeri dengan berpakaian baju merah.

"Berilah sokongan paling hebat dan bersama-sama kita lonjakkan moral pemain agar mereka dapat mencipta kemenangan. Kemenangan ini akan menentukan kedudukan Sarawak dalam Liga Super musim depan.

"Seboleh-bolehnya kami tidak mahu nasib pasukan bergantung kepada keputusan pasukan lain, iaitu pertemuan Kelantan dan Melaka," katanya.

Bagi meraih sokongan penyokong, FAS meneruskan tradisi jualan satu tiket untuk satu tiket percuma dalam aksi terakhir ini.

 

Tentang Penulis

Rudi Affendi Khalik

Komen