Doktor yang merawat kecederaan mata Robin van Persie mengatakan bahawa pada awalnya dia menyangka penyerang Fenerbahce itu adalah "pemain Liga Ahad biasa".

Dr Mehmet Ozen yang memeriksa bekas bintang Manchester United itu, mengakui tidak mengetahui dia telah merawat seorang selebriti bola sepak, walaupun memuji pemain Belanda itu sebagai pesakit yang baik.

"Saya sama sekali tidak meminati bola sepak. Saya tidak mengikutinya. Saya fikir Robin van Persie adalah seorang pemain Liga Ahad biasa.

"Apabila saya melihat orang ramai di sekeliling hospital, saya mula menganggap dia adalah seseorang yang terkenal. Saya merawatnya seperti orang lain datang ke hospital. Dia benar-benar memberi kerjasama ketika saya memeriksanya, sangat merendah diri dan membantu." katanya.

Kelmarin, pemain berusia 33 tahun itu meredakan kebimbangan ramai pihak apabila tampil menjelaskan mata kirinya tidak rosak akibat kecederaan dialami ketika beraksi dalam Liga Turki, Ahad lalu.

Bintang kelab Fenerbahce itu berkata, dia tidak mengalami kecederaan serius walaupun ia kelihatan agak teruk pada awalnya selepas mengalami perlanggaran dengan pertahanan pasukan Akhisar Belediyespor, Abdulwahid Sissoko, dalam perlawanan itu.

Sejurus selepas insiden itu, van Persie dilihat mengerang kesakitan dengan darah mula keluar sebelum pasukan perubatan datang membalut kecederaan dan mengusungnya keluar padang.

"Saya mengalami pendarahan kecil di kelopak mata dan selepas ujian di hospital, saya boleh katakan bahawa mata saya tidak rosak. Jadi, semuanya baik," katanya dalam laman sosial.

Sambil mengucapkan terima kasih kepada kakitangan perubatan yang menjaganya semasa di hospital, penyerang Belanda itu menulis: "Perkara-perkara ini berlaku dalam bola sepak. Namun begitu, saya amat gembira dengan keputusan pasukan yang menang. Sekarang tumpuan kepada perlawanan seterusnya."

Dalam aksi di Stadium Mayis, Ankara itu Fenerbahce menang 3-1 dengan Van Persie menjaringkan gol pembukaan.

Seterusnya, Fenerbahce akan menentang skuad di tangga ketiga, Galatasaray, awal pagi Isnin ini.

Fenerbahce kini berada di tempat kelima dan Istanbul BB mendahului liga diekori rapat Besiktas.

Liga Ahad adalah pertandingan amatur melibatkan pelbagai parsatuan bola sepak di United Kingdom, di mana ia turut memberi peluang kepada pemain yang kekurangan masa untuk menumpukan kepada bola sepak dan orang kurang upaya bermain.