Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam, memberi jaminan bahawa DNA Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP) akan tetap terpelihara siapa sekalipun yang akan mengemudi skuad B-19 negara.

Biarpun jurulatih yang akan mengemudi skuad berkenaan tidak pernah berada dalam kelompok jurulatih NFDP, beliau menegaskan DNA sedia ada sejak lima tahun lalu itu akan tetap terpelihara.

Pemain yang membarisi skuad B-19 berkenaan merupakan watak utama bagi kelompok pertama program nasional berkenaan.

Namun, ia bukan syarat penting untuk mengekalkan jurulatih daripada NFDP.

"Ia tidak akan lari (terjejas).

"Itulah antara ciri-ciri yang kami utamakan dalam pemilihan jurulatih ini.

"Memastikan corak permainan bola sepak kebangsaan (dikekalkan) merupakan keutamaan kami," katanya.

Dengan jawapan yang diberikan itu, Stuart seolah-olah sudah membuka satu lagi bayangan berhubung siapa yang akan menggantikan tempat bekas ketua jurulatih, Bojan Hodak.

Ia selepas khabar angin berhubung pelantikan Brad Maloney bagi mengisi jawatan itu semakin kukuh saban hari.

Namun, kewibawaan pengendali kelahiran Australia itu untuk mengekalkan DNA sedia ada dalam skuad B-19 masih menjadi tanda tanya.

"Harap-harap esok kami dapat mengadakan pengumuman itu.

"Kami juga tidak perlu tergesa-gesa sangat kerana panggilan (pemain) akan dilakukan pada pertengahan bulan depan.

"Dengan itu, kami mempunyai sedikit masa untuk memastikan pemilihan itu berdasarkan perbincangan rapi yang dilaksanakan sebelum membuat sebarang pengumuman rasmi," tambahnya.