Bekas pemain kebangsaan Perancis, Youri Djorkaeff, percaya Thierry Henry akan berjaya membimbing pasukan Monaco walaupun berdepan permulaan buruk dalam kerier kejurulatihannya.

Monaco tewas 0-2 kepada Atletico Madrid dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah, Rabu lalu.

Mereka hanya memenangi satu daripada lapan perlawanan sejak Henry mengambil alih kedudukan pengurus pasukan itu daripada Leonardo Jardim, Oktober lalu.

Kemenangan tunggal itu hanya tiba ketika menewaskan Caen dalam saingan Ligue 1, hujung minggu lalu.

Bagi Djorkaeff, kesukaran Henry bersama Monaco merupakan sesuatu yang tidak dapat dielakkan pengurus itu.

"Saya sudah menjangkakan yang dia akan bergelut kerana saya sangat mengenali keadaan di Monaco," katanya kepada Omnisport.

"Saya bermain selama empat tahun di sana, saya tahu apa yang berlaku dalam pasukan itu.

"Mengemudi Monaco bukanlah pilihan yang mudah buat Henry.

"Mereka menumpukan kepada pengambilan pemain muda untuk digilap.

"Keputusan yang baik hanya akan tiba dalam tempoh setahun atau mungkin dua.

"Lebih-lebih lagi, mereka kehilangan 15 pemain yang cedera untuk tempoh yang lama," tambahnya.

Djorkaeff dan Henry menghabiskan semusim di Monaco sebelum memenangi kejuaraan Piala Dunia dan Eropah, sebelum ini.

Tanpa mengira prestasi semasa, bekas pemain berusia 51 tahun itu menganggap Henry sebagai seorang jurulatih yang berkeupayaan.

"Katika dia menyertai Monaco, dia sedar masalah yang dihadapi pasukan itu, namun dia mengenali kelab tersebut.

"Dia memerlukan masa dan dia memiliki segala-galanya untuk menjadi seorang jurulatih yang baik.

"Dia menggemarinya, dia gemar bercakap dengan pemain.

"Dia kini sedang berdepan masalah, namun saya pasti dia pasti akan berjaya pada masa akan datang," tambahnya.