Presiden Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM), B. Satianathan, memberi bayangan divisyen keempat Liga Malaysia (Liga M) akan diwujudkan, sekali gus memberi peluang lebih banyak pekerjaan kepada jurulatih tempatan.

Menurutnya, Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Tunku Ismail Sultan Ibrahim, dijangka mengumumkan perkara berkenaan dalam masa terdekat.

Jelasnya, jika perkara itu dapat direalisasikan, jurulatih tempatan akan mendapat banyak manfaat, terutama mengisi ruang pekerjaan yang bakal ditawarkan pasukan-pasukan.

"Presiden akan mengadakan satu lagi liga yang dipanggil divisyen empat. Selepas Liga Super, Liga Perdana dan Liga FAM, ada lagi satu lagi liga di negara kita.

"Ini memberi peluang kepada jurulatih-jurulatih untuk mempraktikkan apa yang mereka belajar," katanya selepas menghadiri upacara penutup Simposium PJBM di Kelana Jaya, hari ini.

Selain itu, Satianathan berpesan kepada jurulatih-jurulatih muda tempatan agar lebih bersabar jika mahu menggalas tugas sebagai ketua jurulatih.

Mengakui ada sesetengah pasukan dalam Liga M memandang rendah keupayaan jurulatih tempatan, dia mahu mereka menganggapnya sebagai satu cabaran.

"Jurulatih-jurulatih muda -- seperti saya dahulu di mana saya 16 tahun menjadi pembantu jurulatih -- kalau tiba-tiba menjadi ketua jurulatih, mereka ada pengalaman.

"Jadi, kami nasihatkan kepada jurulatih, jangan mahu memegang watak yang terlampau penting dalam pasukan. Tidak boleh terus menjadi ketua jurulatih kerana pengalaman adalah perkara penting," katanya.