"Ikut arahan dan segera sesuaikan diri." Demikian kriteria utama pengendali skuad B-23 negara, Datuk Ong Kim Swee, terhadap anak buahnya untuk merebut tempat dalam skuad akhir 23 pemain dalam Kejohanan AFC B-23 di China, bulan depan.

Seramai 26 pemain muda negara berlepas ke Mokpo, Korea Selatan, hari ini untuk persediaan fasa akhir kejohanan itu.

"Saya tidak boleh bercakap tentang kriteria tertentu. Apa yang saya ingin lihat dalam tiga perlawanan di Korea nanti, mereka dapat mengikut arahan. Jika mereka mampu mengikut arahan dan bermain dalam cuaca sejuk, mungkin ini merupakan kriteria utama.

"Jika mereka mampu menyesuaikan diri dengan secepat mungkin, ia mungkin menjadi faktor (pemilihan). Namun, tiga perlawanan persahabatan yang akan kami lalui nanti menjadi faktor utama," kata Kim Swee.

Skuad B-23 negara akan berdepan tiga perlawanan persahabatan dengan kelab di Korea, bermula dengan Mokpo City (20 Disember), disusuli Universiti Jeonju (22 Disember) dan Jeonju Citizen (28 Disember).

Satu lagi aksi persahabatan dijangka pada 5 Januari di Nanjing, China.

"Kami tidak pernah beraksi di tempat yang terlalu sejuk sehingga perlu memakai sarung tangan. Jadi, kami perlu membiasakan diri dengan Korea dan buat yang terbaik," ujar tonggak tengah, Khairul Anuar Zamri.

Dalam masa sama, penyerang negara, Safawi Rasid, juga berharap dapat segera menyesuaikan diri dengan cuaca sebelum berdepan Jordan, Iraq dan Arab Saudi dalam aksi Kumpulan C,1 Kejohanan AFC B-23.

"Kami akan fokus pada tiga perlawanan persahabatan di Korea terlebih dahulu dan saya harap kami meraih keputusan positif di samping menyesuaikan diri dengan cuaca," katanya.