Zlatan Ibrahimovic tercicir sempena perlawanan tumpuan Serie A di antara Milan dan Juventus, awal pagi esok.

Penyerang berusia 39 tahun itu diketepikan sejak digantikan dalam kemenangan 3-1 di Napoli pada 22 November lalu.

Bekas bintang Manchester United dan Paris Saint-Germain (PSG) itu terlepas tujuh perlawanan liga terakhir bersama pendahulu Serie A berkenaan dan Rossoneri bernasib baik sepanjang ketiadaannya apabila menang lima dan seri dua kali dalam dua perlawanan.

Pasukan bimbingan Stefano Pioli itu muncul pasukan tunggal dalam kalangan lima liga utama Eropah yang belum tewas sejak musim 2019-20 lalu tertangguh, iaitu pada Mac lalu.

Mereka menuju ke pertemuan di San Siro itu dengan menyedari bahawa kemenangan akan membawa mereka mendahului Bianconeri -- yang menghuni tangga kelima dan mempunyai baki satu perlawanan -- dengan 13 mata.

Bintang dari Sweden itu sempat menawarkan harapan bahawa akan cergas untuk menghadapi bekas kelabnya berkenaan berikutan ditimpa kecederaan baru-baru ini dengan menyiarkan rakaman latihannya di media sosial, semalam, dengan ayat "Tick tock tick tock".



Pengurus itu, bagaimanapun, menjelaskan anak buahnya tersebut belum cergas sambil mengakui memarahinya kerana menimbulkan kekacauan, dua hari sebelum perlawanan itu.

"Saya ada memberitahunya sesuatu memandangkan selepas rakamannya itu, saya menerima panggilan telefon," katanya kepada wartawan.

"Dia semakin pulih dan dia berlatih dengan baik tetapi dia tidak akan dipertaruhkan dalam perlawanan esok."


Rafael Leao mempamerkan prestasi baik sepanjang ketiadaan Ibrahimovic, lebih-lebih lagi menjadi wira dalam kemenangan 2-1 di Sassuolo dan kejayaan 2-0 di Benevento selama dua setengah minggu yang lalu.

Dia muncul pemain asing kedua termuda -- di belakang Alexandre Pato -- untuk meledak 10 gol Serie A bersama kelab itu.

Lantas, Pioli percaya perkembangan pemain berusia 21 tahun itu adalah bukti bahawa Milan bertambah baik sejak tahun lalu.

Rossoneri telah memungut 37 mata daripada 15 perlawanan awal liga musim ini, kali pertama mereka melakukannya dalam sejarah kancah itu sejak era tiga mata diperkenalkan.

"Dia menunjukkan peningkatan ketara, dia mempunyai ciri-ciri yang kami perlu cuba gilap dengan cara yang betul," katanya.

"Yang penting bergantung keinginannya untuk berkembang dan meningkat pada setiap hari.

"Semua perlawanan adalah peluang untuk membuktikan nilai kami. Kami harus menumpukan perhatian kepada perlawanan ini dan tingkatkan kebolehan kami kerana mereka adalah seteru yang kuat, berpengalaman dan mereka telah menguasai liga selama bertahun-tahun.

"Kami telah menunjukkan bahawa kami mampu mengharunginya dan oleh itu, kami akan beraksi untuk menang. Kami telah mengumpul 17 mata lebih banyak dari tahun lalu. Ini adalah jalan yang tepat tetapi kami tidak boleh menjadikan satu perlawanan sebagai penentu selepas melalui 15 yang lain."