Pemain skuad Harimau Malaya, Muhammad Shahrel Fikri Md Fauzi, dalam dilema sama ada kekal bersama pasukan yang menaikkan namanya, Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) FC, atau menyarung jersi pasukan Perak musim depan.

Penyerang yang dipinjamkan untuk beraksi bersama kelab Nakhon Ratchasima dalam liga Thailand selama lima bulan sejak Jun lalu itu mengakui masih belum membuat sebarang keputusan dan berserah kepada rezeki untuk bermain dengan pasukan mana.

Shahrel Fikri atau Eki berkata buat masa ini dia masih sibuk dan bercuti selama dua minggu untuk urusan perkahwinannya, namun jika tiada sebarang keputusan baru mengenai tawaran daripada pasukan lain, dia yang juga kapten PKNP FC akan memulakan musim 2019 dengan pasukan lamanya itu.

"Kontrak saya bersama PKNP FC sehingga 2020 dan memang sekarang ada rundingan dengan pasukan Perak dan saya ada menyatakan niat untuk bermain dengan Perak.

"Namun saya perlu hormat pasukan saya ketika ini sebab saya tahu PKNP FC juga memerlukan saya untuk mengharungi musim baru kerana sebelum ini saya berada di Liga Thailand dan sudah lama tidak bersama PKNP FC.

"Jadi, 2019 saya ingin memulakan musim baru dengan PKNP FC dan mengenai (tawaran) Perak itu, saya tidak boleh cakap lagi kerana memang tiada kata putus antara kedua-dua pasukan," katanya ketika ditemui di majlis perkahwinannya di Brewster Village, hari ini.

Menurutnya, permulaan kariernya dalam bola sepak adalah bersama Perak tetapi namanya naik bersama PKNP FC di mana daripada pasukan itu tidak dikenali berjaya meningkat dari satu tahap ke satu tahap hingga layak ke Liga Super.

"Rasa sayang itu ada dan saya ingin berterima kasih kepada pengurusan PKNP FC dan jurulatih Abu Bakar Fadzim yang selama ini memberi kepercayaan kepada saya.

"Ini antara sebab saya kini dalam dilema, terutama pengurusan yang jaga saya selama ini dan ambil berat tentang saya.

"Perak juga satu peluang yang menarik kerana pasukan itu menjuarai Piala Malaysia. Saya rasa jika ada tawaran, saya ingin pergi sebab Perak memang pasukan terbaik," katanya.

Ditanya mengenai kemungkinan bermain semula di Liga Thailand, Eki mengakui terdapat usaha menyambung kontraknya untuk bermain di negara berkenaan, namun perkara itu tidak berjaya.

"Kelab Thailand pula selepas saya tamat kontrak 31 Oktober lalu, memang mereka ada ingin sambung (kontrak) tetapi mungkin tiada rezeki saya lagi dengan pasukan di Thailand," katanya.