Ketua Eksekutif Ajax, Edwin Van Der Sar, menolak khabar angin mengaitkannya dengan kepulangan ke Manchester United.

Bekas penjaga gol The Red Devils itu dilaporkan menjadi sasaran kelab Liga Perdana Inggeris itu untuk menjadikannya selaku pengarah sukan yang pertama.

United bergelut dalam pasaran perpindahan sejak persaraan Sir Alex Ferguson pada 2013, di mana Van Der Sar beraksi sebelum itu.

Van Der Sar telah membantu Ajax meraih kejayaan memenangi kejuaraan berganda domestik musim lalu serta layak ke separuh akhir Liga Juara-Juara Eropah.

Namun, kepulangan semula ke England tampak bukan sesuatu yang dikejar bekas penjaga gol berusia 48 tahun itu sewaktu ditemui selepas aksi testimonial Manchester City buat Vincent Kompany, awal pagi tadi.

"Tidak, saya fokus dengan tugas sebagai ketua eksekutif di Ajax," katanya.

"Kami meraih tahun yang hebat di Eropah pada musim lalu, memenangi gelaran liga di Belanda.

"Kami mahu Ajax naik ke tahap lebih tinggi di Eropah dan memastikan kembali ke kelompok elit. Itu yang kami usahakan.

"Saya menikmati tempoh di Ajax. Kami mencapai tahap tertinggi pada tahun lalu dan perlu memastikan peluang untuk kekal di situ."

United hanya menang satu daripada empat aksi awal liga musim ini selepas diikat 101 oleh Southampton sebelum tempoh rehat antarabangsa.

Skuad kendalian Ole Gunnar Solskjaer itu akan melayan kunjungan pasukan yang belum tewas, Leicester City, di Old Trafford, Sabtu ini.