Naib Presiden, Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Abdul Rasid Jusoh, menegaskan tindakan undang-undang akan diambil terhadap pengendali tiga laman sosial Facebook yang membuat kenyataan berbaur fitnah terhadap dirinya.

“Terdapat kenyataan di media sosial menuduh saya membocorkan maklumat pasukan, menghasut dan menjatuhkan moral pemain, malah melobi jawatan-jawatan penting dalam PBSNT.

“Ingin saya tegaskan, tugas saya bersama pakar-pakar teknikal bola sepak dan sains sukan sekadar memberi cadangan barisan pemain musim depan. Cadangan itu kemudian akan dibawa ke Jawatankuasa Eksekutif yang akan menentukan, jadi bidang kuasa saya setakat itu sahaja.

“Malah, saya tidak bertanding dalam pemilihan Jawatankuasa PBSNT akan datang kerana mahu memberi fokus kepada program pembangunan di peringkat akar umbi," katanya.

Tambah Rasid, satu laporan polis telah dibuat, Khamis lalu terhadap tiga laman media sosial di Facebook, iaitu ‘Terengganu’, ‘T&T’ dan ‘Selamatkan Bola Sepak Terengganu’ yang didakwanya telah membuat kenyataan fitnah.

“Saya memberi tempoh lima hari untuk pengendali akaun itu membuat permohonan maaf, sama ada secara bersemuka atau di laman sosial mereka,” tegasnya.

Rasid, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan dan Prestasi Pemain, turut menafikan dakwaan dirinya dikaitkan dengan penyebaran senarai pemain Terengganu musim depan.

“Selaku Naib Presiden PBSNT, saya bertanggungjawab atas kegagalan Terengganu kekal dalam saingan Liga Super dan turut kecewa dengan prestasi musim ini.

“Namun, tuduhan mendakwa saya membocorkan maklumat, menghasut serta menjatuhkan moral para pemain adalah palsu kerana itu bukan bidang kuasa saya,” tambahnya lagi.