Dele Alli berkata insiden dia dibaling botol di Emirates menjadikan kemenangan 2-0 Tottenham ke atas Arsenal dalam aksi suku akhir Piala Liga, awal pagi tadi, menjadi lebih manis.

Selepas menyumbat gol kedua perlawanan menerusi lambungan yang melepasi jangkauan Petr Cech, Alli menerima kesakitan di kepala selepas dibaling botol pada minit ke-73 sebelum menunjukkan isyarat '2-0' kepada penyokong tuan rumah.

Insiden itu berlaku selepas kontroversi kulit pisang yang dilemparkan kepada Pierre-Emerick Aubameyang setelah menyempurnakan sepakan penalti ketika Arsenal mengatasi Spurs 4-2, awal bulan lalu.

Dalam aksi awal pagi tadi, Alli turut melakukan bantuan jaringan buat Son Heung-Min untuk meletakkan Spurs di depan selepas 20 minit permainan tatkala Henrikh Mkhitaryan melepaskan peluang awal buat The Gunners.

"Itu yang berlaku. Situasi itu membuatkan jaringan dan kemenangan kami lebih manis," kata Alli.

Kemenangan itu juga bermakna Spurs berjaya melunaskan dendam selepas tunduk di gelanggang sama awal bulan ini.

"Apabila kami hadir ke sini sebelum ini, keputusan tidak menyebelahi kami, jadi kami tahu betapa pentingnya perlawanan ini," tambah Alli.

"Kami mahu ke separuh akhir. Ia adalah ujian besar buat kami dan kami rasa Spurs tampil dengan persembahan bagus sehingga tamat perlawanan."

Spurs bakal berdepan Chelsea dalam aksi timbal-balik separuh akhir tatkala juara bertahan, Manchester City, dan kelab Liga Satu, Burton Albion, akan berentap dalam satu lagi separuh akhir.