Dia seorang juara -- Gattuso tidak peduli kemarau gol Higuain 

Oleh Penulis Jemputan 9 Disember 2018 140
 Dia seorang juara -- Gattuso tidak peduli kemarau gol Higuain 
Prestasi Gonzalo Higuain tidak mencetuskan kegusaran buat pengurus AC Milan, Gennaro Gattuso, biarpun taruhan serangannya itu kemarau gol sejak Oktober lalu. 

Milan kehilangan khidmat pemain pinjaman berkenaan dalam saingan Serie A sejak kekalahan 0-2 kepada majikannya asalnya, Juventus, 11 November lalu, dengan bekas bintang Napoli tersebut digantung dua perlawanan berikutan kad merah dalam pertembungan di San Siro itu. 

Skuad kendalian Gattuso itu mengikat Lazio 1-1 serta menundukkan Parma 2-1 sepanjang ketiadaan Higuain, dengan pemain berusia 30 tahun itu dijangka kembali untuk aksi menentang Torino dalam aksi Serie A, hari ini.

Meskipun Higuain tidak menjaringkan gol sejak jaringannya dalam kemenangan 3-2 ke atas Sampdoria, 28 Oktober lalu, Gattuso tetap tidak peduli sambil melabelkan pemain antarabangsa Argentina itu sebagai "juara sejati".

"Walaupun semua orang berpendapat dia mengalami kekecewaan, senyumannya di dalam bilik persalinan sentiasa muncul," kata Gattuso dalam sidang akhbar.

"Dia tidak menjaringkan gol dalam tempoh sebulan tetapi ia juga disebabkan penggantungan, rehat antarabangsa dan kecederaan ringan. Dia adalah juara yang sejati.

"Kami akan cuba melihat sama ada Higuain dan (Patrick) Cutrone boleh bergandingan, masalah terbesar kami adalah keseimbangan, kami perlu bergerak dengan baik dan menghidu sebarang bahaya," tambahnya.

Milan hanya tewas sekali dalam enam perlawanan terakhir liga untuk menduduki tangga keempat, namun Gattuso menjangkakan ujian sukar ketika berdepan Torino yang berada empat mata di belakang Rossoneri.

"Mereka merupakan sebuah pasukan yang menggabungkan teknik dan kekuatan fizikal, mereka sentiasa beraksi baik dengan pengurus yang membuat persediaan rapi," katanya.

"Mereka tahu apa yang perlu dilakukan dan sukar untuk ditangani apabila mereka bermain di gelanggang lawan."

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen