Pengurus Paris Saint-Germain (PSG), Unai Emery, bertindak balas dengan komen yang dibuat Presiden Real Madrid, Florentino Perez, tentang prospek Neymar menyertai kelab itu.

Perez dipetik oleh Marca sebagai berkata Neymar akan lebih mudah memenangi Ballon d'Or jika dia bermain untuk juara Eropah itu.

Komen itu mungkin akan membangkitkan spekulasi lebih lanjut mengenai masa depan bintang Brazil itu, dengan laporan mencadangkan Madrid berminat membawanya kembali ke LaLiga tahun depan.

Bagaimanapun, Emery menegaskan bekas bintang Barcelona itu akan dapat mencapai semua yang dihajatinya di ibu kota Perancis itu.

"Dia ada di sini, di Paris," katanya dalam sidang akhbar ketika ditanya mengenai Neymar, yang berada di posisi ketiga Anugerah Ballon d'Or 2017 di belakang Lionel Messi dan pemenang, Cristiano Ronaldo.

"Saya yakin dia akan mendapat matlamat keseluruhan dan ganjaran individu di sini."

PSG akan berdepan Lille hari ini untuk bangkit daripada kekalahan berturut-turut selepas tumpas kepada Strasbourg dalam Ligue 1 dan Bayern Munich dalam Liga Juara-Juara (UCL).

Keputusan itu mengancam jawatan Emery walaupun dia telah membimbing pasukannya untuk berada di puncak liga dan pusingan 16 UCL.

Begitupun, bekas ketua jurulatih Sevilla itu menegaskan tidak wujud kebimbangan di dalam bilik persalinan dan pencapaian mereka secara keseluruhan harus diambil kira.

Ditanya sama ada terdapat sebarang keraguan dalam kalangan pemain, dia menjawab: "Tidak. Tidak juga ketika kami menang atau kalah.

"Saya kembali ke konteks keseluruhan, kami adalah yang pertama dalam Ligue 1 dengan jurang sembilan mata, kami juga mendahului peringkat kumpulan UCL.

"Sebuah perlawanan adalah dalam konteks tertentu, saya sering mengkritik diri sendiri terutama apabila saya menang, saya cuba untuk bertenang apabila kami kalah.

"Kami telah menganalisis kesemua enam perlawanan UCL. Lima aksi pertama adalah luar biasa.

"Kami mendahului dan kami gembira seperti yang saya katakan, prestasi pada separuh pertama musim ini sebelum dua kekalahan itu adalah luar biasa, analisis keseluruhannya adalah positif. Keputusan semasa tidak bagus tetapi secara keseluruhannya bagus," hujahnya.