Paris Saint-Germain (PSG) hilang khidmat Angel Di Maria untuk empat perlawanan selepas pengatur serangan itu digantung kerana meludah pertahanan Marseille, Alvaro.

Di Maria telah pun menjalani hukuman atas peranannya dalam kekecohan pertembungan 'Le Classique' pada masa kecederaan, 14 September lalu.

Neymar -- yang menuduh Alvaro bersikap perkauman tetapi dinafikan sama sekali oleh barisan pemain OM -- termasuk dua rakan sepasukannya, Leandro Paredes dan Layvin Kurzawa, sementara pemain pelawat, Dario Benedetto dan Jordan Amavi, masing-masing dilayangkan kad merah dalam aksi di Parc des Princes itu.

Tatkala bintang Brazil itu sudah pun selesai menjalani penggantungannya, Di Maria pula akan terlepas empat perlawanan lagi.

Namun, Thomas Tuchel berpeluang menyenaraikan pemain Argentina itu ketika menentang Reims, hujung minggu ini, berikutan hukuman tersebut hanya berkuatkuasa Selasa depan.

Lantas, pemain lincah dari Argentina itu akan terlepas perlawanan Ligue 1 bertemu Angers, Nimes, Dijon dan Nantes.

Selepas tewas dalam dua perlawanan awal musim ini, kelab dari ibu kota Perancis itu meraih mata maksimum dalam dua perlawanan terakhir apabila menundukkan Metz dan Nice yang menyaksikan Kylian Mbappe kembali daripada kuarantin sejak disahkan positif COVID-19.