STRASBOURG 2 PSG 4

Angel Di Maria menuntut aksi lebih kerap bersama Paris Saint-Germain (PSG) selepas membantu gergasi Perancis itu mara ke suku akhir Coupe de la Ligue 1.


Di Maria bergelut untuk merebut tempat di bawah bimbingan Unai Emery musim ini, dengan jurulatih PSG itu cenderung menggandingkan Neymar, Kylian Mbappe dan Edinson Cavani di barisan hadapan.

Bagaimanapun, pemain sayap antarabangsa Argentina itu yang dikaitkan dengan perpindahan keluar dari ibu negara Perancis itu mengingatkan kualiti yang dimilikinya menerusi kemenangan 4-2 di Strasbourg, awal pagi tadi -- mencetak gol kedua pasukannya.

"Saya gembira di Paris, tidak begitu banyak penampilan saya musim ini, saya ingin beraksi lebih kerap," kata Di Maria.

"Tetapi, saya bersyukur kerana peluang yang diberikan ini dan membuktikan saya sudah bersedia dalam kesebelasan utama.

"Saya melakukan perkara yang betul untuk menunjukkan bahawa saya mahu menjadi pemain utama, itu yang saya mahukan. Saya tahu jurulatih yang akan membuat keputusan.

"Sebenarnya, jika seseorang pemain memikirkannya dan berasa tidak senang, mereka perlu diberi peluang untuk membuktikan bahawa mereka harus berada dalam kesebelasan utama," hujahnya.

Dani Alves dan Julian Draxler turut menemui sentuhan penyudah untuk memadam gol Yoann Salmier pada babak pertama, sekaligus dendam kekalahan 2-1 kepada lawan yang sama dalam aksi Ligue 1 pada 2 Disember lepas terbalas.

"Kami perlu memperbaiki permainan," kata Emery. "Kami lebih fokus dari awal permainan lagi. Kami tidak membenarkan lawan untuk memimpin.

"Kami boleh menjaringkan lebih banyak gol dan bermain lebih baik selepas 4-2 tetapi kami masih berpuas hati. Kami akan terus maju, langkah demi langkah, perlawanan demi perlawanan."

Pemain tengah PSG, Marco Verratti, menambah: "Ia bukan satu permainan yang mudah, Strasbourg dalam prestasi terbaik. Mereka telah memenangi dua perlawanan sebelum ini ke atas kami dan Bordeaux.

"Kami memulakan permainan dengan betul, saya fikir kami menguasainya. Strasbourg tidak banyak mencipta peluang dan kami sedang melalui satu fasa yang menyaksikan setiap dua atau tiga peluang yang dijana akan menghasilkan gol.

"Kami perlu lebih berhati-hati dengan perkara itu, mengenai butiran kecil kerana itulah bola sepak. Bagaimanapun, kami berpuas hati dengan kemaraan dan prestasi kami."