Angel Di Maria berasakan rakan sepasukannya di Paris Saint-Germain (PSG), Edinson Cavani, adalah salah seorang penyerang berbisa di dunia selepas mempamerkan persembahan mantap bagi musim 2016-17.

Cavani sering kali beraksi di bahagian sayap ketika Zlatan Ibrahimovic masih beraksi di Parc des Princes, tetapi beralih sebagai penyerang utama selepas pemain kebangsaan Sweden itu berhijrah ke Manchester United tahun lalu.

Cavani tidak mengecewakan pengendali pasukan, Unai Emery, selepas mempamerkan persembahan mantap apabila berjaya meledak 49 gol dalam 50 penampilan dalam semua kejohanan dan Di Maria berasakan penyerang berusia 30 tahun itu telah membuktikan bahawa dia salah seorang yang terbaik di dunia.

"Cavani seorang pemain yang menakjubkan," kata Di Maria.

"Dia memiliki pergerakan yang bagus, pandai mencari ruang di antara pertahanan lawan dan sentiasa berada di tempat yang betul.

"Dia mengharungi musim yang baik. Dia membuktikan kualitinya sebagai penyerang utama pasukan. Dia telah mempamerkan kualiti salah seorang penyerang yang berbisa di dunia."