VIKTORIA PLZEN 2 ROMA 1

Eusebio Di Francesco berkata beliau tidak mendapat tindak balas seperti yang diharapkan selepas skuad kendaliannya, Roma, tumbang 1-2 kepada Viktoria Plzen dalam aksi Liga Juara-Juara (UCL).


Roma telah pun mengesahkan tempat dalam pusingan 16, namun menuju ke Republik Czech tanpa kemenangan dalam empat perlawanan dalam semua pertandingan.

Sungguhpun menyamakan kedudukan melalui Cengiz Under selepas jaringan pembukaan Jan Kovarik, Tomas Chory memenangi tiga mata untuk pasukan tuan rumah yang membawa pasukannya layak ke Liga Europa.

"Perlawanan ini merupakan peluang untuk kami bangkit dan saya tidak mendapat tindak balas seperti yang saya harapkan," kata Di Francesco kepada Sky Sport Italia.

"Untuk mewakili Roma, kami harus menghasilkan persembahan yang lebih hebat, bermula daripada jurulatih. Pasukan lawan sering beraksi lebih baik daripada kami.

"Kami bermula dengan baik, mengawal bola, namun membenarkan mereka mencetuskan masalah besar dan kami tidak mampu untuk bertindak balas biarpun bagi Viktoria Plzen, ia adalah peluang terakhir mereka.

"Saya tidak pasti jika ia merupakan detik sukar kami dalam perlawanan secara umumnya tetapi memang benar untuk mengatakan bahawa kami tidak bertahan secara kolektif.

"Kesalahan terbesar Roma adalah kehilangan bola terlalu kerap dan tidak bertahan secara konsisten. Ia membenarkan Plzen untuk mendapatkan keputusan yang lebih baik daripada kami dan itu tidak sepatutnya berlaku.

"Kami mengharapkan prestasi yang berbeza daripada semua pemain, saya tidak akan bercakap tentang individu.

"Saya lebih menekankan aspek persembahan kami berbanding keputusan hari ini. Kami perlu melihat ke hadapan dan semua orang perlu menunjukkan prestasi yang lebih tinggi lagi, yang boleh menjadi cabaran kepada mereka," tambahnya,

Roma akan menyambut Genoa dalam aksi Serie A di gelanggang sendiri dengan harapan dapat memperbaiki kedudukan mereka yang kini menghuni tangga kelapan liga.