Jadon Sancho menemui sasaran ketika membantu Borussia Dortmund menewaskan Duisburg 5-0 dalam pusingan pertama DFB-Pokal di gelanggang lawan awal pagi tadi.

Pemain kebangsaan England itu dikaitkan untuk menyertai pasukan gergasi Liga Perdana Inggeris (EPL), Manchester United, walaupun Dortmund kelihatan tidak mahu kehilangan aset berharga itu.

Sancho membuka jaringan di Schauinsland-Reisen-Arena dengan jaringan sepakan penalti pada minit ke-14 sebelum Jude Bellingham, pemain baru yang ditandatangani daripada Birmingham City, menandakan penampilan pertamanya dengan gol selepas setengah jam permainan.

Harapan pasukan tuan rumah itu untuk kembali mengikat kedudukan dimusnahkan tidak lama sebelum ke bilik persalinan apabila Dominic Volkmer dilayangkan kad merah selepas mengasari Erling Haaland dan Thorgan Hazard pula menjaringkan gol ketiga Dortmund daripada sepakan percuma susulan insiden itu.

Giovanni Reyna dan Marco Reus kemudian melengkapkan keputusan perlawanan itu dalam babak kedua untuk Dortmund memperoleh persiapan terbaik menjelang perlawanan pembukaan Bundesliga menentang Borussia Monchengladbach hujung minggu ini.