Gordon Strachan memuji "dewa-dewa bola sepak" selepas membantu Scotland meraih kemenangan dramatik 1-0 ke atas Slovakia serta melonjakkan harapan mereka untuk mara ke Piala Dunia, tahun depan.

Scotland naik ke tangga kedua Kumpulan F selepas Martin Skrtel menjaringkan gol sendiri pada penghujung perlawanan di Hampden Park, awal pagi tadi, menyaksikan skuad kendalian Strachan meraih kemenangan ketiga berturut-turut dan tidak dibolosi sebarang jaringan.

Slovakia, yang beraksi dengan 10 pemain selepas Robert Mak dilayangkan kad merah setelah melakukan dua kekasaran, memberikan peluang kepada Scotland untuk melancarkan serangan.

Pemain gantian, Chris Martin dan Ikechi Anya ternyata memberikan impak untuk pasukan tetapi pengurus pasukan, Strachan, gembira dengan kemenangan ini.

"Saya mengetahui bahawa kami mampu menjaringkan gol," katanya.

"Ia akan menjadi satu kekecewaan untuk kami jika gagal melakukannya. Satu persembahan yang cemerlang.

"Slovakia terpaksa bermain dengan 10 pemain dan ia memberikan peluang kepada kami.

"Pemain terbaik untuk pasukan lawan adalah penjaga gol, Martin Dubravka. Dia telah memberikan persembahan yang cemerlang.

"Kami akan cuba meneruskan momentum ini dalam baki perlawanan akan datang bagi menghidupkan peluang untuk ke Piala Dunia dan saya menyifatkan dewa-dewa bola sepak telah memberikan kemenangan ini kepada kami."