Pengendali Barcelona, Ernesto Valverde, menyifatkan peningkatan kelab daripada Liga Perdana Inggeris (EPL) dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah (UCL) musim ini diraih selepas bergelut
selama beberapa tahun.


Sepanyol telah menjadi kuasa besar bola sepak Eropah sejak kebelakangan ini, menyaksikan sekurang-kurangnya satu pasukan daripada LaLiga pasti akan menempah tiket ke separuh akhir.

Real Madrid memenangi tiga daripada aksi tersebut manakala Barcelona mengungguli saingan pada tahun 2015.

Begitu juga di pentas Liga Europa apabila Sevilla memenangi trofi kedua tertinggi Eropah itu selama tiga tahun berturut-turut sebelum Manchester United menamatkan dominasi mereka pada musim lalu.

Bagaimanapun, musim ini menyaksikan lima pasukan daripada England iaitu United, Chelsea, Liverpool, Manchester City dan Tottenham Hotspur kini berada di landasan terbaik untuk melayakkan diri ke pusingan kedua, membuatkan pengendali Barcelona itu memuji peningkatan yang dipamerkan.

"Saya akui kelab-kelab Inggeris telah kembali mencabar kejuaraan Eropah selepas beberapa tahun tidak berjaya melakukannya.

"Saya tidak katakan pasukan dari Sepanyol semakin lemah. Mereka amat kuat pada musim lalu dan dalam saingan kali ini, kelab dari England yang menunjukkan peningkatan.

"Ia pastinya diraih selepas bergelut selama beberapa tahun untuk kembali mencabar setiap pasukan dari seluruh Eropah," kata Valverde.